Print this page

BANTAH PM CAMPUR TANGAN PELANTIKAN HAKIM, SETIAUSAHA POLITIK PM DILANTIK MENJADI KHN

Date Thursday, 24 July 2025


BANTAH PM CAMPUR TANGAN PELANTIKAN HAKIM, SETIAUSAHA POLITIK PM DILANTIK MENJADI KHN

 Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Semenjak Tun Tengku Maimun membangkitkan isu campur tangan politik dalam pelantikan Hakim sehingga mencadangkan Perdana Menteri  tidak diberi sebarang peranan di dalamnya, badan-badan bukan kerajaan, Majlis Peguam, ahli-ahli politik, orang ramai nampak seperti sebulat suara menyokongnya.

Mereka menyokong cadangan menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan Hakim seolah-olah Perdana Menteri tidak ada cara lain untuk meletakkan calon pilihannya. Serahkan kepada orang politik, apatah lagi seorang Perdana Menteri dan lihatlah apa yang dilakukan mereka.

Saya tidak percaya ada Perdana Menteri yang akan pergi ke Parlimen untuk membuat undang-undang memotong namanya sendiri dalam urusan se penting itu. Jika undang-undang seperti itu berjaya diadakan sekalipun, ia tidak bererti pengaruh Perdana Menteri akan luput. Lagi pula, tanpa peranan Perdana Menteri, mungkin Ketua Hakim Negara (KHN) yang akan melantik orangnya mengisi jawatan-jawatan itu.

Di antara penyokong-penyokong itu terdapat mantan-mantan Perdana Menteri. Malah, Tun Dr. Mahathir turut mempengerusikan satu persidangan meja bulat yang meluluskan resolusi menyokong cadangan itu.

Kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman menampakkan seolah-olah kesalahan tertumpu kepada Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim berkaitan dengan Tan Sri Terriruddin.

Maka, Majlis Peguam pun mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran membantahnya. Apabila  Perdana Menteri memberitahu pemberita bahawa senarai nama calon-calon itu telah dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja  bahawa nama Tan Sri Terriruddin tidak ada dalam senarai itu dan nama calon yang terpilih akan diisytiharkan esoknya, penunjuk perasaan gembira: mereka telah menang!

Pada 17 Julai 2025, Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan mengeluarkan kenyataan media, antara lain, mengatakan bahawa, atas nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja, Yang di-Pertuan Agong telah melantik Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara, Dato’ Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar (Sabah dan Sarawak.) (Dalam rencana ini saya akan membincang pelantikan Dato’ Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara sahaja).

Perkataan yang digunakan dalam kenyataan ini adalah peruntukan Perlembagaan mengenai pelantikan Hakim. Bahawa kenyataan itu dibuat oleh Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan adalah suatu yang betul. Majlis Raja-Raja hanya perlu dirunding. Pendapatnya tidak perlu diikuti. Yang di-Pertuan Agong dikehendaki mengikuti nasihat Perdana Menteri. Tidak ada sebab mengapa Majlis Raja-Raja patut mengisytiharnya.

Maka Pengerusi Majlis Peguam pun mengeluarkan kenyataan menyambut baik pelantikan itu, mengucapkan tahniah kepada Dato’ Wan Ahmad Farid, memujinya kerana menarik diri daripada membicarakan permohonan Queen’s Council dalam kes Dato' Seri Najib Tun Razak. Beliau tertarik dengan beberapa petikan dalam penghakimannya mengenai kebebasan mahkamah dan memuji wataknya. Kumpulan Islam pula memujinya kerana keputusannya dalam kes SIS dan kes Loh Siew Hong. Di Dewan Rakyat ada  beberapa orang Ahli Parlimen yang kurang senang kerana latar belakang politiknya.

Mari kita imbaskan latar belakangnya. Beliau berasal dari Terengganu, berkelulusan undang-undang dari University of West London.

1987 - 2003 peguam dan peguam Syarie di Kuala Terengganu.

2003 - 2008 Setiausaha Politik Perdana Menteri.

2008 - 2009 Senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

2009 Bertanding kerusi Parlimen Kuala Terengganu, kalah kepada calon PAS.

2011 – 2015 Peguam di Kuala Lumpur

16 12 2015 Pesuruhjaya Kehakiman, umur 52 tahun.

08 08 2019 Hakim Mahkamah Tinggi

12 11 2024 Hakim Mahkamah Rayuan.                                                           

18 07 2025 Ketua Hakim Negara, umur 62 tahun.

Biarlah saya sebut terlebih dahulu bahawa saya tidak mengenali atau mengetahui beliau, tidak pernah melihat wajah beliau atau mendengar nama beliau. Saya tidak tahu prestasi beliau sebagai seorang peguam mahupun sebagai seorang Pesuruhjaya Kehakiman dan Hakim. Saya juga tidak menyentuh mengenai meritnya. Tiada siapa pun menyebut mengenainya. Malah namanya pun tidak pernah disebut. Maka, analisis ini semata-mata berdasarkan sembilan baris fakta di atas dan pengalaman saya.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai peguam dan peguam Syarie di Terengganu selama 16 tahun. Dengan hormat, pengalaman yang boleh ditimba di Terengganu berbanding seorang peguam yang bekerja di firma besar di Kuala Lumpur, misalnya, tidaklah sama. Tambahan lagi, dalam tempoh itu, beliau aktif dalam politik. Saya percaya beliau menjadi peguam sebagai batu loncatan kepada politik.

Kerana perancangannya tidak menjadi, selepas 16 tahun, beliau meninggalkan firmanya dan berpindah ke Kuala Lumpur. Menjadi Setiausaha Politik Perdana Menteri membuka jalan pintas ke arena politik. Nampaknya seperti perkiraannya akan menjadi. Tetapi, kekalahannya di tangan PAS di Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, kedudukan UMNO yang semakin lemah di    Terengganu dan pengunduran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri ibarat pukulan paku terakhir kepada cita-cita politik beliau.

Maka, dari 2011 hingga 2015, beliau kembali menjadi peguam semula, kali ini di Kuala Lumpur. Kemudian, pada 16 12 2015 beliau menjadi Pesuruhjaya Kehakiman, pada umur 52 tahun.

Apakah yang berkemungkinan menyebabkan seorang yang bercita-cita menjadi seorang ahli politik, malah disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar Terengganu dan pernah menjadi Senator dan Timbalan Menteri, sanggup menjadi Pesuruhjaya Kehakiman dengan kontrak dua tahun?

Saya fikir jawatan itu bukanlah jawatan pilihannya, tetapi jawatan tanpa pilihan dalam keadaan terdesak. Beliau gagal dalam politik dan sebagai seorang peguam. Itu sahajalah pilihan terbaik yang ada.

Soalan berikutnya, mengapa beliau mengambil masa selama empat tahun sebagai Pesuruhjaya Kehakiman sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi?

Seorang Pesuruhjaya Kehakiman dilantik dengan kontrak dua tahun. Jika prestasinya mencapai tahap yang dikehendaki, sebelum tamat tempoh dua tahun, beliau akan dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi. Jika tidak dan tidak ada masalah lain, perkhidmatannya disambung setahun lagi untuk memperbaiki prestasinya. Sepanjang ingatan saya, tidak ada seorang Pesuruhjaya Kehakiman yang disambung perkhidmatannya sehingga empat tahun. Jika tiga tahun masih tidak layak, beliau terpaksa mencari kerja lain. Saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam hal ini.

Nasib beliau baik, beliau dilanjutkan kontraknya sehingga empat tahun dan sebelum tamat tempoh itu beliau dilantik menjadi Haki tidak adam Mahkamah Tinggi. Lima tahun kemudian beliau dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan. Ini bolehlah dikatakan dalam keadaan biasa, pada masa itu apatah lagi jika diambil kira tempoh empat tahun beliau menjadi Pesuruhjaya Kehakiman dan menjalankan kerja yang serupa.

Saya percaya beliau sudah amat bersyukur sampai ke situ dalam kerjaya kehakimannya. Dalam keadaan biasa, beliau bolehlah berharap untuk bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Itu sudah cukup baik.

Tetapi, lapan bulan kemudian, tiba-tiba, beliau dilantik menjadi Ketua Hakim Negara. Bayangkan, dari segi protokol, beliau berada selepas Timbalan Perdana Menteri. Beliau akan dianugerah gelaran “Tun” yang beliau tidak boleh mimpikan dalam kerjaya politik. Saya tidak fikir beliau pernah terfikir keputusannya untuk memohon menjadi Pesuruhjaya Kehakiman akan membawanya sejauh itu, apatah lagi setelah tersangkut sebagai Pesuruhjaya Kehakiman selama empat tahun. Saya percaya Dato’ Wan Ahmad Farid sendiri tidak tergamak untuk menadah tangan berdoa untuk menjadi pengganti Tun Tengku Maimun.

Perhatikan ironinya dalam peristiwa ini. Bantahan terhadap campur tangan politik oleh Perdana Menteri   dalam pelantikan Hakim berakhir dengan mantan Setiausaha Politik Perdana Menteri dilantik menjadi Ketua Hakim Negara. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang Hakim Mahkamah Rayuan dilantik terus menjadi Ketua Hakim Negara. Selepas bocornya minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, kemarahan orang ramai tertumpu kepada Perdana Menteri kerana cuba melantik Tan Sri Terriruddin menjadi Ketua Hakim Negara. Apabila Dato’ Wan Ahmad Farid dilantik, semua pihak yang membantah menyambut baik. Perdana Menteri menjadi wira.

Dulu, kita terkejut dengan pelantikan Tun Tengku Maimun. Sekarang kita terima kejutan yang lebih besar. Jika Tun Tengku Maimun dilantik semasa beliau baru menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan selama lima bulan, Dato’ Wan Ahmad Farid dilantik selepas lapan bulan menjadi Hakim Mahkamah Rayuan. Di Mahkamah Rayuan, mengikut semakan dalam Current Law Journal, beliau baru menulis empat penghakiman, semuanya kes sivil. Jika Tun Tengku Maimun belum pernah   mempengerusikan persidangan Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik menjadi Ketua Hakim Negara, Dato’ Wan Ahmad Farid belum pun pernah mempengerusikan persidangan Mahkamah Rayuan, malah tidak pernah duduk di Mahkamah Persekutuan. Jika Tun Tengku Maimun menghabiskan keseluruhan kerjayanya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan menjalankan kerja berkenaan undang-undang sehingga beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman, Dato’ Wan Ahmad Farid membahagikannya kepada undang-undang, politik dan bekerja sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri. Mungkin sebab itulah beliau mengambil masa empat tahun untuk disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Kasihan kepada Presiden Majlis Peguam, ketua badan-badan bukan kerajaan dan lain-lain yang terlalu cepat gembira. Lebih-lebih lagi, kasihan kepada Hakim-Hakim yang lebih senior. Mereka tidak boleh mengagak masa depan mereka. Semuanya terserah kepada Perdana Menteri. Mungkin sebab itulah Tun Tengku Maimun hendak menamatkan peranan Perdana Menteri dalam hal ini. Saya cuba mempertahankan sistem yang sedia ada kerana saya fikir masih ada Perdana Menteri yang menghormatinya. Entahlah siapa yang betul.

Saya tidak salahkan Dato’ Wan Ahmah Farid dalam hal ini. Beliau hanya bernasib baik. Cuma saya ingin tahu siapakah yang memberikan namanya kepada Perdana Menteri.

Jika dibandingkan pelantikan dua orang Ketua Hakim Negara yang terakhir, nampaknya apa yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan adalah lebih teruk daripada apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dahulu.

24 Julai 2025

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

Read 618 times